Lahirnya Maahad Tahfiz Al-Akhlak
Al-Islamiah adalah atas aspirasi bersama pendokong Madrasah Al-Akhlak
Al-Islamiah Masjid Tinggi Bagan Serai Perak. yang merasakan perlunya kepada
kesinambungan sistem pondok khusus untuk
masyarakat dan umat Islam di Malaysia juga dinegara serantau. Jika kita
menghimbau kembali 40-50 tahun yang silam kita akan menyaksikan senario yang
tentu sekali berlainan degan apa yang disaksikan pada hari ini. Mungkin di
waktu itu, ibu bapa khususnya masih lagi memandang masa depan sebagai seorang
hafiz tidak sesuai untuk anak-anak mereka yang diharapkan untuk terjun ke
bidang profesional semata-mata. Ditambah pula dengan sikap prejudis sebahagian
warga masyarakat yang memandang bahawa menjadi seorang hafiz sangat kurang potensinya
dari sudut kerjaya dan profesionalisma.
Hari ini, keadaan sama sekali sudah
berubah. Satu demi satu madrasah-madrasah dan maahad-maahad tahfiz ditubuhkan
di serata pelusuk negara ekoran minat yang semakin tinggi di kalangan
masyarakat untuk mendalami ilmu al-Quran. Ditambah pula dengan kejayaan
generasi huffaz menempatkan diri di tengah-tengah masyarakat bukan sahaja
sebagai seorang ulama tetapi tidak kurang juga di bidang-bidang yang dianggap
profesional. Lahirnya sistem pendidikan yang menggunakan kaedah serampang dua
mata (tahfiz + akademik) yang kita takrifkan sebagai MAAHAD TAHFIZ INTERGRATED.
Rekod cemerlang di kalangan masyarakat akhirnya membuka mata dan meruntuhkan
tembok prejudis yang terbina selama ini. Bahkan tidak pelik jika hari ini jika solat
tarawih di masjid-masjid turut di imamkan oleh para pelajar dari maahad tahfiz.
Bagaimanapun, adakah senario ini akan
kekal atau hanyalah merupakan satu perkembangan yang sementara? Ia bergantung
kepada bagaimanakah generasi huffaz ini berjaya membawa manfaat kepada
masyarakat. Dibimbangi jika generasi huffaz yang saban tahun dilahirkan di
tengah masyarakat gagal memainkan fungsi yang sepatutnya, masyarakat akan
mengalih semula minat dan arah kepada bidang yang lain.
Oleh yang demikian, di tengah-tengah
kemelut moral dan akhlak yang melanda golongan remaja pada hari ini, golongan
huffaz wajib berada di tengah-tengah gelanggang masyarakat menghidupkan budaya
al-Quran. Ia bukan setakat dibaca, dihafal, dipertandingkan bahkan dihayati
makna dan isi kandungannya. Huffaz perlulah menyedari isi kandungan al-Quran
yang tersemat di dada-dada mereka bukan sahaja untuk disimpan dan diluahkan
ketika tibanya bulan Ramadhan semata-mata tetapi untuk dihidupkan pengajarannya
di tengah-tengah masyarakat. Oleh yang demikian, golongan huffaz perlu mengisi
ruang-ruang majlis ilmu di masjid-masjid dan madrasah agar masyarakat
didekatkan dengan pengajian ilmu al-Quran yang sebenar oleh ahli di dalam
bidangnya.
Selain itu, golongan huffaz perlulah
mempunyai identiti yang membezakan mereka dari orang lain. Ini kerana apabila
seseorang itu dikenali dengan identiti al-hafiz,
dengan sendirinya ia akan menjadi perhatian masyarakat. Samada negatif atau
positif, bergantung kepada bagaimanakah seseorang hafiz itu berjaya mengekalkan
identitinya sebagai seorang penghafal al-Quran.
Akhir sekali, perlulah golongan huffaz
menyedari bahawa mereka merupakan pemimpin masyarakat di hari muka. Hari ini,
instituti-instituti tahfiz yang berkembang mekar bolehlah diibaratkan seperti
benih-benih yang sedang ditanam dan dibaja. Suatu hari nanti ia akan menjadi
pokok yang berbuah lebat dan memberikan manfaat kepada masyarakat. Oleh yang
demikian, kita menaruh harapan agar ’benih-benih’ generasi huffaz yang sedang
disemai pada hari ini suatu hari nanti akan berada di saf hadapan menertajui
masyarakat dengan berpandukan sumber wahyu daripada Allah SWT.
Wassalam.
Tinta Pengerusi
No comments:
Post a Comment