PANDANGAN FUQAHA TENTANG TANAH WAQAF

Para ulama bersepakat menyatakan bahawa pewakaf mempunyai bidang kuasa yang luas untuk melantik sesiapa sahaja bagi mentadbir dan menguruskan harta wakafnya. Pewakaf boleh melantik dirinya sendiri sebagai pemegang amanah atau menyerahkan amanah ini kepada orang yang menerima wakaf, atau selain daripada keduanya. Jika sekiranya pewakaf meletakkan sesuatu syarat kepada mereka yang dilantik, maka pemegang amanah itu hendaklah melaksanakan syarat dan mematuhi segala ketetapan yang dibuatkan oleh pewakaf. sebaliknya, jika pewakaf tidak menentukan kepada mana-mana pihak untuk menguruskan harta wakafnya, maka pihak hakim atau kerajaan yang akan menentukannya.

Ini adalah pandangan ulama mazhab Maliki dan ulama mazhab Syafi‘i. Namun kebanyakan fatwa menyebutkan bahawa wakaf bagi tujuan umum atau tujuan khusus yang ditentukan, hak untuk mentadbir harta berkenaan adalah di tangan hakim.
Pada pandangan mazhab Hanbali, sekiranya pewakaf telahpun menentukan secara khusus pihak yang akan menerima wakaf dan setiap mereka ada bahagiannya, maka penerima wakaf itu sendiri adalah pemegang amanah bagi tanah yang diwakafkan kepadanya. Berbeza dengan tanah wakaf Am yang tidak ditentukan penerima wakafnya seperti wakaf untuk masjid, fakir miskin, maka hakim atau pembantunya selaku nazir atau pemegang amanah ke atas harta berkenaan.
 
Terdapat juga pandangan fuqaha Hanbali bahawa hak pengawalan harta tersebut adalah tertakluk kepada mereka yang menerima wakaf, sekalipun tidak disyaratkan. Menurut mazhab ulama Hanafi, pewakaf adalah pihak yang bertanggungjawab terhadap apa jua urusan ke atas harta yang diwakafkan, sama ada wujudnya syarat atau sebaliknya. Kemudian berpindah kepada orang yang diwasiatkan oleh pewakaf jika ada. Jika tidak hakim akan mengambil alih tugas tersebut. 

Pandangan ini merujuk kepada konsep wakaf  itu sendiri bahawa hak milik harta yang diwakafkan tetap kekal di tangan pewakaf. Manakala pandangan yang mengatakan bahawa pihak yang menerima wakaf akan menjadi pentadbir dan bertanggung jawab sepenuhnya terhadap harta berkenaan, kerana sesuatu yang diwakafkan itu tidak lagi menjadi miliknya. Maka kuasa mentadbir akan terserah kepada orang yang diwakafkan atau kepada kadi.
Bagi mazhab Hanafi, pewakaf adalah pihak utama yang memegang kuasa pelantikan pentadbir yang difikirkan sesuai dan layak untuk mentadbir harta wakafnya. Pihak lain tidak boleh mencampuri urusan ke atas harta tersebut. Ini bermakna urusan pentadbiran harta wakaf adalah masih tertakluk kepada pemilik harta berkenaan atau pewakaf, selama dia masih hidup. Peranan pentadbir hanyalah sebagai wakil kepada pewakaf dan pewakaf boleh menggugurkan jawatan atau hilang kelayakan pentadbir tersebut jika difikirkan tidak sesuai. 
BIDANGKUASA PENTADBIR HARTA WAQAF
Seseorang yang dilantik sebagai pentadbir harta wakaf hendaklah menjalankan amanah dan melangsungkan syarat-syarat atau niat dikenakan oleh pewakaf selagi syarat tersebut tidak bercanggah dengan hukum syarak. Berikut ialah beberapa perkara yang tidak boleh dilakukan oleh pentadbir dan menjamin harta wakaf daripada disalahgunakan:
i.    Tidak boleh disewa atau dipajak oleh pentadbir sendiri
ii.   Tidak disewa dari kalangan ahli keluarga sendiri pewakaf dan pentadbir terlibat sama dalam urusan tersebut, kecuali dinaikkan harga dari harga pasaran
iii.  Harta wakaf tidak boleh digadai jika keadaan ini boleh menjejaskan pendapatan biasa yang diterima oleh pewakaf
iv.  Pentadbir harta wakaf tidak boleh sama sekali mengubah syarat tanah dari tanah pertanian kepada tanah perusahaan atau sebaliknya kecuali dengan persetujuan daripada kerajaan
v.  Pentadbir tidak boleh memberikan harta wakaf kepada pihak lain sebagaimana yang ditetapkan oleh pewakaf
vi. Arahan daripada pihak penerima wakaf tidak boleh dijadikan alasan untuk menukar atau meminda apa-apa syarat kecuali jika ada alasan yang munasabah demi menjaga kebajikan dan masa depan harta itu sendiri.

No comments:

Post a Comment