SHEIKH ZUBEIR AL-FILFULANI - MADRASAH AL-AKHLAK AL-ISLAMIAH - 1946-1948

Sejak usia sekitar tujuh tahun lagi Zubeir bin Ahmad memasuki salah sebuah Madrasah Islamiyah di negerinya. Pendidikan ilmu-ilmu asas seperti fiqh, akidah, tilawah al-Quran dan lain-lain dipelajarinya sejak usia tersebut. Pada tarikh 10 Muharam 1339 H/23 September 1920 M, Zubeir melanjutkan pelajarannya di Madrasah Al-Masyhur Al-Islamiyah di Pulau Pinang.

Beliau belajar daripada Syeikh Abdur Rahman Firdaus al-Makki, Syeikh Muhammad Radhi al-Makki, Saiyid Ahmad Dahlan al-Makki, Syeikh Abdullah al-Ghadamsi al-Maghribi, Syeikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi al-Falaki dan Syeikh Husein Rafi'. Zubeir tamat belajar di madrasah tersebut pada bulan Syaaban 1342 H/Mac 1924 M. Kemudian beliau bersama kawan-kawannya melanjutkan pelajaran ke Mekah. Mereka ialah Ali Manshuri, Ahmad Manshuri, Ishaq Zain dan Abdul Majid Husein.

Sampai di Mekah mereka tinggal bersama Syeikh al-Qadhi Ahmad Qari. Mereka tiba di Mekah pada malam awal bulan Ramadan 1342 H/5 April 1924 M.

Pada bulan Syawal 1342 H/Mei 1924 M, Zubeir dan rakan-rakannya memasuki Al-Madrasah Hasyimiyah Syarif Husein bin Ali. Mereka mendapat pendidikan khusus daripada lima ulama iaitu Syeikh Umar Ba Juneid, Syeikh Jamal al-Maliki, Syeikh Habibullah asy-Syanqithi, Syeikh Muhammad Zaidan asy- Syanqithi dan Syeikh Umar Hamdan al-Mahrasi.

Pada tahun 1344 H/1925 M mereka sempat belajar di Madrasah Ash-Shaulatiyah sehingga mereka keluar dari madrasah itu pada tahun 1349 H/ 1930 M. Sewaktu di Madrasah Ash-Shaulatiyah itulah barangkali Zubeir mula bersahabat dengan Saiyid Muhsin bin Ali al-Masawi al-Huseini yang memasuki Madrasah Ash-Shaulatiyah tahun 1341 H/1923 M.

Para gurunya di Madrasah Ash-Shaulatiyah ialah Syeikh Salim Rahmatullah, Syeikh Mahmud Arif al-Bukhari, Syeikh Abdul Lathif al-Qari, Syeikh Hasan bin Muhammad al-Masyath, Syeikh Mukhtar Makhdum, Syeikh Abdullah al-Bukhari.

Selain mendapat pendidikan di madrasah, Zubeir juga mendapat pendidikan di Masjid al-Haram dan dengan ulama-ulama tertentu di rumah. Di antara guru beliau yang dapat dikesan ialah Syeikh Sa'id Yamani, anaknya Syeikh Hasan Yamani, Saiyid Abdullah Shalih az-Zawawi, Syeikh Muhammad Ali al-Maliki, Saiyid Shalih Syatha, Syeikh Muhammad al-Arabi at-Tubbani dan ramai lagi.

Daripada senarai nama para guru sejak dari Pulau Pinang hingga pendidikan di Mekah tidaklah diragui bahawa Syeikh Haji Zubeir adalah seorang putera Pulau Pinang yang cukup banyak mengumpulkan ilmu pengetahuan dalam berbagai-bagai bidang.

Madrasah Dar al-Ulum

Setelah tamat belajar di Madrasah ash-Shaulatiyah Syeikh, Zubeir menjalankan aktiviti mengajar di rumah dan di Masjid al-Haram, Mekah. Beliau mengajar ilmu-ilmu alat dan fiqh dalam Mazhab Syafie. Dalam Tasynif al-Asma juga disebut bahawa pada tahun 1352 H/1933 M, Syeikh Haji Zubeir berkongsi mengasaskan Madrasah Dar al-Ulum ad-Diniyah di Syu'ib 'Ali, Mekah.

Saiyid Muhsin bin Ali al-Masawi al-Huseini selaku pengasas Dar al-Ulum ad-Diniyah itu bertindak sebagai Mudir yang pertama manakala Syeikh Haji Zubeir adalah Naib Mudir.

Saya tidak mengetahui sumber mana yang digunakan oleh Mohammad Redzuan sehingga dalam beberapa perkara terdapat perbezaan pendapat. Menurut beliau, selain Syeikh Haji Zubeir sebagai Mudir pertama Madrasah Dar al-'Ulum ad-Diniyah, disebutnya pula yang berusaha mengasaskan madrasah itu ialah Haji Abdul Majid Zainuddin. Haji Abdul Majid Zainuddin tersebut dikatakan meletakkan batu asas. Menurutnya lagi, bangunan untuk madrasah memulakan pengajian telah diwakafkan oleh Toh Puan Sharifah, iaitu isteri kepada Datuk Panglima Kinta (kertas kerja hlm. 7).

Saiyid Muhsin bin Ali al-Masawi al-Huseini meninggal dunia pada 1354 H/1935 M. Tempatnya sebagai Mudir Madrasah Dar al-Ulum ad-Diniyah diganti oleh Syeikh Haji Zubeir hingga tahun 1359 H/1940 M. Pada tahun yang sama, beliau pulang ke Malaysia setelah lama mengajar di Mekah dan mempunyai ramai murid.

AKTIVITI DI MALAYSIA


Setelah berada di Malaysia Syeikh Haji Zubeir seperti biasa bergiat dalam bidang pendidikan. Di antara madrasah-madrasah tempat beliau mengajar ialah Madrasah al-Huda, Madrasah al-Ulum asy-Syar'iyah, Madrasah al-Akhlaq al-Islamiyah, Masjid Tinggi, Bagan Serai. Terakhir sekali menjadi Mudir Madrasah al-Idrisiyah. Madrasah al-Idrisiyah mempunyai sejarah yang panjang dan tersendiri.

Mengenai Madrasah al-Ulum asy-Syar'iyah, berdasarkan buku Madrasah Al-Ulum Al-Syar'iyah Perak 1937 - 1977 oleh Sabri Haji Said, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1983, madrasah yang terletak di Batu 20, Bagan Datoh, Perak itu sejak mulai berdirinya mendapat sumbangan daripada Syeikh Haji Zubeir.

Bahawa terbinanya Madrasah al-Ulum asy-Syar'iyah adalah hasil inisiatif Haji Muhammad Arsyad bin Haji Muhammad Saleh. Menurut Sabri, penubuhan madrasah itu diadakan di Masjid Bagan Pasir dengan dipengerusikan oleh Syeikh Haji Zubeir bin Haji Ahmad pada 21 Oktober 1937 (Sabri, hlm. 32).

Nama madrasah itu diberi oleh Haji Muhammad Arsyad setelah berbincang dengan Syeikh Haji Zubeir bin Haji Ahmad (hlm. 33). Mudir Madrasah al-Ulum asy-Syar'iyah ialah Haji Muhammad Arsyad. Syeikh Haji Zubeir bin Haji Ahmad pada zaman penjajahan Jepun buat beberapa ketika pernah sebagai Wakil Mudir (hlm. 141).

Penglibatan Syeikh Haji Zubeir dalam Madrasah al-Akhlaq al-Islamiyah, Masjid Tinggi, Bagan Serai pula ialah beliau mengajar di madrasah tersebut pada 1946 hingga 1948.

Madrasah al-Akhlaq al-Islamiyah sangat erat hubungannya dengan Madrasah al-Ulum asy-Syar'iyah kerana didirikan oleh Haji Abdur Rahman bin Haji Arsyad pada tahun 1943. Haji Abdur Rahman ini ialah keluarga Dato' Haji Hasan Adli, seorang tokoh terkenal.
Rasanya riwayat ini tidak sempurna jika tidak menceritakan madrasah tersebut yang dianggap sebati dengan beberapa orang mudirnya, antaranya ialah Syeikh Haji Zubeir yang diriwayatkan ini. Madrasah al-Idrisiyah diasaskan pada tahun 1340 H/1922 M dekat Masjid Ubudiah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak.

Madrasah tersebut didirikan berikutan titah Sultan Idris I Al-Mursyidul A'zam Syah, Sultan Perak pada zaman itu. Baginda menitahkan dibina madrasah itu kepada Tuan Guru Syeikh Haji Nawawi bin Haji Tahir. Senarai Mudir yang pertama Madrasah al-Idrisiyah hingga ulama yang diriwayatkan ini susunannya adalah seperti berikut: Haji Muhammad bin Haji Muhammad Saleh, berkhidmat (1922 - 1928), Syeikh Abdullah al-Maghribi (1928 - 1932), Syeikh Haji Abdullah Fahim (1932 - 1948) dan Syeikh Haji Zubeir bin Haji Ahmad 1948 - 1975).

No comments:

Post a Comment