Peraturan Sekolah


PENDAHULUAN
 


                                                                                                                                                                                                                                          

Disiplin akan menjadikan seorang pelajar itu sebagai manusia yang dapat memimpin diri sendiri dalam hidupnya di masa hadapan. Selain guru-guru dan masyarakat, ibu bapa juga perlu membantu pihak sekolah mengatasi masalah disiplin pelajar kerana pengaruh ibu bapa member impak yang besar kepada keperibadiaan anak-anak. Justeru, ibu bapa perlu memberikan nasihat yang sewajarnya kepada anak mereka untuk mengamalkan nilal-nilai murni di sekolah dan tidak melanggar peraturan sekolah.  Selain itu, pelajar itu sendiri mestilah mengamalkan nilai-nilai murni ketika berada di sekolah. Antara nilai-nilai murni yang perlu diamalkan oleh pelajar ialah baik hati, bertolak ansur dan mematuhi peraturan sekolah. Jika semua pelajar mengamalkan nilai murni, maka tiadalah masalah disiplin di sekolah, seterusnya menghasilkan suasana yang kondusif untuk pembelajaran yang berkesan.


BAHAGIAN A: PENTADBIRAN DAN PENGURUSAN SEKOLAH
 



PERKARA 1:        WAKTU PERSEKOLAHAN
1.1               Waktu kelas/ pembelajaran adalah seperti berikut:

Hari Isnin – Khamis :        Dari pukul 6.30 pagi hingga 7.30 pagi.
                                Dari pukul 8.00 pagi hingga 10.00 pagi.
Dari pukul 10.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.
Dari pukul 2.30 petang hingga 4.00 petang.
Hari Jumaat               :        Dari pukul 8.00 pagi hingga 10.00 pagi
                                                                                Dari pukul 3.00 petang hingga 5.00 petang
Hari Sabtu                   :        Dari pukul 8.45 pagi hingga 12.15 tengah hari
                                               
1.2               Semua pelajar diwajibkan hadir setiap hari dan menepati waktu persekolahan/ pembelajaran. Pelajar yang sering lewat ke kelas atau ponteng akan dikenakan hukuman sewajarnya.

1.3               Sebelum kelas pertama bermula, semua pelajar mesti berbaris di luar kelas masing-masing terlebih dahulu sebelum masuk ke kelas dengan arahan guru. Semua pelajar tidak dibenarkan merayau-rayau di luar kelas semasa sesi pembelajaran berlangsung.

1.4               Semua pelajar tidak dibenarkan berada di dalam kelas ketika waktu rehat atau mana-mana waktu kecuali pada waktu kelas/ pembelajaran.

1.5               Semasa transisi/ pertukaran kelas, semua pelajar mesti tetap berada di dalam kelas dan tidak dibenarkan keluar kecuali dengan keizinan guru.

1.6               Semasa waktu persekolahan, pelajar-pelajar tidak dibenarkan keluar dari kawasan sekolah atau pulang ke asrama tanpa kebenaran Mudir, Guru Penolong Kanan atau guru bertugas mingguan.
PERKARA 2:        PERHIMPUNAN RASMI
2.1          Perhimpunan rasmi mingguan sekolah diadakan pada setiap 8.00 pagi hari Isnin di tapak perhimpunan.
2.2          Semua pelajar diwajibkan hadir dengan berpakaian rasmi sekolah yang lengkap dan kemas.
2.3          Semua pelajar mesti berbaris mengikut kelas masing-masing dan beradab sopan.
2.4          Semua pelajar dinasihati agar menghormati guru yang menyampaikan ucapan dengan memberi sepenuh perhatian dan tidak berbual-bual semasa majlis sedang berlangsung.
2.5          Nyanyian Asma ul-Husna, doa pagi, serta ikrar Rukun Iman dan Rukun Islam akan diamalkan pada setiap kali perhimpunan rasmi.

PERKARA 3:        BUKU/ KITAB
3.1          Semua pelajar dinasihatkan menyediakan buku tulis khusus untuk setiap subjek/ mata pelajaran sekiranya dikehendaki oleh guru yang mengajar. 
3.2          Semua pelajar dikehendaki membeli buku/ kitab yang digunakan oleh guru untuk memudahkan serta melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran agar lebih berkesan.
3.3          Buku-buku yang dibeli melalui guru/ pihak sekolah hendaklah dijelaskan bayarannya mengikut harga yang ditetapkan.

PERKARA 4:        KOPERASI SEKOLAH
4.1          Semua pelajar yang ingin berurusan dengan koperasi sekolah mestilah pada waktu yang telah ditetapkan sahaja kecuali dengan kebenaran guru.
4.2          Sebarang pembelian harus dilakukan secara tunai, bukan secara hutang.

PERKARA 5:        PEMBAYARAN YURAN
5.1          Yuran asrama hendaklah dibayar pada tarikh yang ditetapkan oleh pihak sekolah.
5.2          Pelajar yang lewat membayar yuran diminta menunjukkan sebab.
5.3          Ibu bapa/ penjaga yang membuat pembayaran secara dalam talian (online) atau bank-in, hendaklah memaklumkan perkara berkenaan kepada pihak sekolah dengan menyertakan resit pembayaran tersebut.
5.4          Setiap resit pembayaran yang diterima oleh pelajar hendaklah disimpan dengan baik sebagai rujukan sekiranya timbul masalah di masa hadapan.
            

PERKARA 6:        PERATURAN BANGUNAN DAN KAWASAN SEKOLAH
6.1          Bilik darjah/ kelas
6.1.1      Setiap pelajar bertanggungjawab menjaga kebersihan dan keselamatan kelas dan guru kelas bertanggungjawab menyediakan jadual bertugas kebersihan.
6.1.2      Setiap kelas digalakkan mempunyai sudut pembelajaran dan menghias kelas dengan bahan-bahan yang menarik dan bermanfaat.
6.1.3      Sebelum meninggalkan kelas, kerusi/ meja mesti disusun dengan teratur. Lampu dan kipas hendaklah dipastikan sudah ditutup.
6.1.4      Semua pelajar tidak dibenarkan memindahkan kerusi/ meja/ perabot antara kelas tanpa kebenaran.
6.1.5      Semua pelajar dilarang keras menconteng dan merosakkan dinding, lantai atau sebarang peralatan/ perabot di dalam kelas.

6.2          Tandas Sekolah
                6.2.1      Semua pelajar mesti menggunakan tandas dengan betul, menjaga kebersihan serta
                                dilarang membuang sebarang sampah ke dalam lubang/ mangkuk tandas.
               
6.2.2      Semua pelajar hanya dibenar menggunakan tandas pelajar dan dilarang menggunakan tandas guru.

6.2.3      Semua pelajar dilarang menconteng sebarang permukaan (dinding, lantai, pintu dan sebagainya) di tandas dengan sebarang alat/ bahan.
6.2.4      Semua pelajar hendaklah berjimat menggunakan air dan menutup paip setelah digunakan.

6.3          Papan kenyataan
6.3.1      Sebarang kenyataan yang ditampal atau ditulis mesti mendapat kebenaran guru. Hanya gambar/ maklumat yang sesuai sahaja boleh ditampal.
                6.3.2      Kenyataan yang lama atau telah tamat tempoh masa mesti ditanggalkan segera.
                6.3.3      Semua pelajar hendaklah menghargai maklumat yang ditampal di papan kenyataan
                                dan tidak meminda maklumat yang ada di papan tersebut.

6.4          Harta benda sekolah/ asrama
6.4.1      Semua pelajar bertanggungjawab menjaga semua harta benda sekolah yang terdapat di dalam kelas, tandas, kantin, surau dan lain-lain.
6.4.2      Sebarang kerosakan harta benda sekolah hendaklah dilaporkan dengan segera kepada guru. Manakala, sebarang kerosakan harta benda dan kelengkapan asrama hendaklah dilaporkan kepada Warden.
6.4.3      Kerosakan yang dilakukan oleh pelajar hendaklah diganti oleh pelajar itu sendiri. Sekiranya berlaku kerosakan yang disebabkan oleh pelajar tetapi tiada pengakuan oleh mana-mana pelajar, semua pelajar akan bertanggungjawab dan berkongsi wang untuk menggantikannya.
6.4.4      Semua bentuk harta yang dipinjam dari pihak sekolah/ asrama hendaklah dipulangkan semula.

6.5          Keceriaan dan kebersihan kawasan sekolah
6.5.1      Semua pelajar bertanggungjawab menjaga kebersihan dan keceriaan sekolah.
6.5.2      Semua pelajar dilarang membuang sampah di merata-rata tempat. Sampah yang ditemui di jalanan atau di tempat yang tidak sepatutnya hendaklah dipungut dan dibuang ke dalam tong sampah.
6.5.3      Semua pelajar dilarang menconteng atau membuat sebarang kerosakan kepada sebarang permukaan seperti dinding atau sebagainya dengan sebarang bahan.
6.5.4      Semua pelajar dilarang mengotori kawasan sekolah.

6.6          Kawasan larangan
6.6.1      Pelajar dilarang berada di pejabat sekolah, bilik guru, bilik mudir, dan bilik warden kecuali jika dipanggil atau diberi keizinan.
6.6.2      Pelajar dilarang berada di kantin kecuali pada waktu makan, waktu mengulang kaji, dan waktu-waktu lain yang ditetapkan.
6.6.3      Pelajar dilarang berada di bilik tidur pada waktu belajar, kelas mengulang kaji, kelas al-Quran, dan waktu solat.
6.6.4      Pelajar tidak dibenarkan pulang ke asrama pada waktu mengulangkaji kecuali setelah mendapat keizinan daripada warden.
6.6.5      Pelajar dilarang keras berada atau masuk ke dapur/ tempat memasak.
6.6.6      Pelajar dilarang keras berada di luar kawasan sekolah/ asrama kecuali dibenarkan atau mendapat keizinan daripada warden.
               


PERKARA 7:        PERTUKARAN/ PEMBERHENTIAN SEKOLAH
7.1          Pertukaran/ pemberhentian sekolah hanya dibenarkan dengan kebenaran ibu bapa/ penjaga.
7.2          Ibu bapa/ penjaga hendaklah memastikan yuran makanan dan asrama telah dijelaskan.               
7.3          Ibu bapa/ penjaga hendaklah memastikan telah mendapat surat pengesahan, sijil berhenti dan sijil PLBS daripada pihak sekolah.


BAHAGIAN B: ASRAMA
 




PERKARA 8:        BILIK TIDUR
8.1          Peraturan lampu padam (lights-off)      
8.1.1      Tepat jam 10.30 malam, semua lampu di bilik tidur mestilah dipadamkan. Semua pelajar hendaklah berada di katil masing-masing dan terus tidur.
8.1.2      Pelajar dilarang berada di kawasan lain selain bilik tidur setelah lampu dipadam.
8.1.3      Pelajar tidak dibenarkan berbual-bual, merayau-rayau atau tidur di katil kawan.

8.2          Kelengkapan asrama/ bilik tidur
8.2.1      Segala kelengkapan asrama seperti katil, almari, tilam, dan lain-lain tidak boleh diubah kedudukannya atau dipindah milik.
8.2.2      Setiap pelajar bertanggungjawab ke atas keselamatan katil, bantal, tilam, almari dan lain-lain kemudahan asrama yang disediakan. Pelajar hendaklah memulangkan semula semua kemudahan ini dalam keadaan yang baik setelah digunakan/ apabila dikehendaki.
8.3          Setiap pelajar hendaklah mengemas tempat tidur masing-masing dengan baik sebelum pukul 7.00 pagi setiap hari.
8.4          Semua pakaian hendaklah dilipat dan diatur dengan kemas di dalam almari. Meletak pakaian di bawah bantal atau tilam adalah dilarang.
8.5          Segala peralatan membasuh dan mandi hendaklah disusun dengan teratur di dalam bilik.
8.6          Pelajar dilarang menjemur atau menyidai semua jenis pakaian di tingkap, koridor atau di dalam bilik tidur. Kain baju, tuala, dan lain-lain yang lembap atau basah hendaklah dijemur di ampaian yang disediakan.
8.7          Kasut dan selipar hendaklah disusun dengan baik dan teratur. Beg-beg pakaian yang besar hendaklah disimpan di tempat yang tertentu dan boleh diambil ketika hendak pulang bercuti.
8.8          Semua pelajar tidak dibenarkan berada di kawasan bilik tidur ketika waktu persekolahan, kelas al-Quran, ulangkaji, kelas tambahan, waktu solat dan waktu-waktu lain yang tidak dibenarkan.
8.9          Pelajar tidak dibenarkan bermain semua jenis permainan padang/ luar (outdoor) di bilik tidur, anjung asrama, bilik belajar dan lain-lain lagi.

PERKARA 9:        PEMERIKSAAN ASRAMA
9.1          Pemeriksaan asrama untuk memastikan kebersihan akan dijalankan pada setiap hari Ahad mulai jam 9.00 pagi atau mengikut ketetapan pihak asrama.
9.2          Semasa pemeriksaan sedang dijalankan, pelajar hendaklah berdiri di sisi katil masing-masing dengan memakai pakaian rasmi sekolah. Almari hendaklah sedia terbuka bagi memudahkan pemeriksaan.
9.3          Pemeriksaan akan dilaksanakan oleh warden asrama/ pengawas/ pegawai-pegawai dan lembaga pengelola atau semua yang tersebut. Pada hari persekolahan, bilik asrama akan diperiksa oleh warden/ guru/ guru disiplin dan ketua asrama. Mereka berhak memanggil pelajar yang terlibat jika terdapat sesuatu yang tidak memuaskan pada bila-bila masa yang dikehendaki.
9.4          Pelajar yang pulang bercuti bulanan atau terpaksa keluar dari asrama semasa waktu pemeriksaan hendaklah mengemas tempat tidur dan almari terlebih dahulu.
9.5          Pemeriksaan mengejut boleh diadakan pada bila-bila masa sahaja.
9.6          Setiap kesalahan akan dicatat dan direkodkan serta diberi mata kesalahan mengikut besar atau kecilnya kesalahan yang dilakukan. Mata kesalahan ini akan diberi penilaian.

PERKARA 10:      BILIK MANDI/ TANDAS
10.1        Kebersihan bilik mandi dan tandas adalah tanggungjawab setiap pelajar.
10.2        Pelajar tidak dibenarkan menjemur/ menyidai atau meninggalkan sebarang pakaian atau alatan membasuh di dalam bilik mandi/ tandas.
10.3        Pelajar dilarang menggunakan singki untuk merendam pakaian.
10.4        Pelajar dilarang membuang sampah di dalam bilik mandi/ tandas.
10.5        Pelajar tidak dibenarkan menggunting rambut di dalam bilik mandi/ tandas.
10.6        Semua pelajar disarankan menggunakan air dengan jimat. Paip-paip air hendaklah ditutup ketika tidak digunakan.
PERKARA 11:      SURAU DAN SOLAT
11.1        Bilik solat/ surau             
11.1.1    Bilik solat/ surau dikhususkan untuk aktiviti bertujuan ibadah sahaja. Kebersihan dan ketenteraman surau adalah tanggungjawab semua pelajar.
11.1.2    Semua pelajar diwajibkan solat berjamaah di surau pada setiap waktu solat.
11.1.3    Kelengkapan, bahan-bahan bacaan dan lain-lain yang terdapat di dalam surau tidak boleh dibawa keluar.
11.1.4    Makanan dan minuman tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam surau.
11.1.5    Lampu, kipas, paip dan pintu hendaklah ditutup selepas digunakan.

11.2        Adab bersolat
11.2.1    Pelajar dinasihatkan tidak memakai baju-T semasa bersolat atau sebarang aktiviti kerohanian. Pakaian yang dipakai seharusnya bersih dan kemas.
11.2.2    Pelajar dilarang sengaja melengah-lengahkan solat.

11.3        Solat Jumaat
11.3.1    Pada hari Jumaat, pelajar hendaklah memakai pakaian rasmi sekolah untuk ke masjid.
11.3.2    Selepas sesi persekolahan pada hari Jumaat, pelajar hendaklah terus ke masjid dan tidak dibenarkan pulang ke asrama.
11.3.3    Pelajar yang tidak dapat ke masjid hendaklah memaklumkan kepada warden.

PERKARA 12:      KANTIN DAN MAKANAN
12.1        Penyediaan Makanan
12.1.1    Pelajar yang sakit atau mempunyai alahan hendaklah memaklumkan kepada penyelia makanan/ warden asrama untuk tindakan yang sewajarnya.
12.1.2    Pelajar-pelajar hendaklah menghubungi pengelola makanan/ warden/ ketua asrama/ AJK makanan sekiranya makanan yang disediakan tidak mengikut menu yang ditetapkan.
12.1.3    Segala aduan berkenaan makanan hendaklah dikemukan kepada AJK asrama atau ketua asrama untuk dikemukakan terus kepada warden pada masa itu juga.
12.1.4    Semua bantahan tentang makanan yang dihantar kepada mudir hendaklah dibuat oleh warden dan salinan kepada pengelola makanan. Warden akan menyelesaikannya bersama-sama dengan penyelia, pengelola makanan dan mudir.

12.2        Makanan lain
12.2.1    Makanan yang dibawa/ diterima dari rumah/ kampung hendaklah disimpan dengan baik dalam almari masing-masing.
12.2.2    Setiap pelajar hanya dibenarkan mempunyai dan menyimpan satu bekas makanan kering. Makanan basah, mudah basi dan berbau tidak boleh dibawa ke dalam asrama.
12.2.3    Semua pelajar dilarang membeli makanan dari luar kawasan sekolah.

12.3        Kantin/ dewan makan
12.3.1    Pelajar dikehendaki berada di kantin pada setiap kali waktu makan mengikut masa yang telah ditetapkan.
12.3.2    Pelajar-pelajar tidak dibenarkan masuk ke tempat memasak atau tempat menyediakan makanan.
12.3.3    Pelajar tidak dibenarkan membawa peralatan dapur masuk ke asrama/ kelas. Pelajar juga tidak dibenarkan membawa keluar makanan/ minuman dari kawasan kantin.

12.4        Adab makan pelajar
12.4.1    Semua pelajar hendaklah berbaris dengan teratur ketika mengambil makanan/ minuman dan tidak membuat bising. Semua pelajar hendaklah mengambil makanan mengikut kemampuan selera dan elakkan pembaziran dalam makanan.
12.4.2    Doa sebelum makan hendaklah dibaca terlebih dahulu oleh pelajar yang telah ditugaskan. Doa hanya mula dibaca setelah semua pelajar mengambil tempat duduk.
12.4.3    Pelajar-pelajar hendaklah makan dengan sopan dan tertib. Sebarang bentuk gurauan ketika sedang menjamu hidangan tidak digalakkan.
12.4.4    Pelajar hendaklah membuang sisa makanan ke dalam tong sampah yang disediakan. Semua pelajar tidak dibenarkan sama sekali membuang sisa makanan ke dalam singki atau ke lantai.
12.4.5    Semua bekas makanan/ minuman hak milik kantin mesti dimasukkan ke dalam bekas yang telah disediakan selepas diguna.
PERKARA 13:      KEGIATAN ASRAMA DAN AKTIVITI KOKURIKULUM
13.1           Semua pelajar hendaklah mengambil bahagian dalam apa jua kegiatan persatuan, permaian, atau badan-badan tertentu yang dianjurkan oleh pihak sekolah atau asrama.

13.2           Para pelajar juga digalakkan menyertai program dan pertandingan yang dianjurkan/ disarankan oleh pihak sekolah/ asrama.

13.3           Semua pelajar diwajibkan mengambil bahagian dalam aktiviti kokurikulum yang berikut:
i.           Usrah
ii.          Malam Kesenian Islam

13.4           Kelas persediaan

13.4.1      Semua pelajar dianjurkan membuat kerja rumah atau mengulangkaji pelajaran (termasuk hafalan Quran) semasa kelas persediaan.

13.4.2    Pelajar tidak dibenarkan berbual-bual, bermain atau melakukan aktiviti yang tidak berkaitan pelajaran semasa kelas persediaan.

13.5           Ibu bapa/ penjaga tidak dibenarkan membawa keluar pelajar yang terlibat dengan aktiviti sekolah berkenaan kecuali kecemasan dan mengemukakan akuan bertulis kepada Warden.


PERKARA 14:      PERJUMPAAN ANTARA PENGHUNI-PENGHUNI ASRAMA
14.1        Sebarang mesyuarat/ perjumpaan berkumpulan mestilah mendapat kebenaran Mudir/ warden dan nyatakan tujuan perjumpaan tersebut.
14.2        Perjumpaan yang melibatkan orang luar mestilah mendapat kebenaran daripada Mudir sekurang-kurangnya lima hari sebelum perjumpaan itu diadakan.
14.3        Setiap pertemuan tersebut mesti disertai oleh seorang guru sebagai pemerhati.
14.4        Pelajar tidak dibenarkan menubuhkan sebarang persatuan/ pertubuhan yang bercorak kedaerahan, politik atau lain-lain yang bercanggah dengan Akta Pendidikan dan prinsip-prinsip sekolah kecuali persatuan yang sedia ada.
14.5        Pelajar tidak dibenarkan menganggotai mana-mana persatuan luar sekolah dan dilarang mengedar majalah, risalah, kaset atau apa-apa bahan milik sebarang pertubuhan di asrama atau di sekolah.



PERKARA 15:      SURAT-MENYURAT PELAJAR
15.1        Semua urusan rasmi atau surat-menyurat dengan jabatan atau mana-mana jabatan kerajaan/ agensi/ pertubuhan dan lain-lain di luar sekolah hendaklah dibuat melalui Mudir.
15.2        Pelajar tidak dibenarkan menulis ke mana-mana akhbar, majalah atau mana-mana agensi penerbitan tanpa kebenaran daripada Mudir.
15.3        Pelajar juga dilarang mengeluarkan sebarang kenyataan kepada wartawan/ pemberita sama ada secara bertulis atau lisan tanpa kebenaran Mudir.
15.4        Pihak sekolah berhak membuka dan menapis sebarang surat yang diterima atau dikirim oleh pelajar jika dirasakan perlu.

PERKARA 16:      PENERIMAAN PELAWAT
16.1        Masa melawat adalah ditetapkan seperti berikut:
Sabtu:  2.00 petang – 6.00 petang      /      Ahad dan Cuti Umum:  9.00 pagi – 6.00 petang

16.2        Pelawat dibenarkan menemui pelajar di tempat menunggu yang disediakan. Pelawat tidak dibenarkan masuk ke asrama dan ke tempat-tempat larangan lain yang telah ditetapkan.
16.3        Pada waktu persekolahan, pelawat tidak dibenarkan melawat atau menemui pelajar kecuali mendapat kebenaran.
16.4        Pelajar tidak dibenarkan sama sekali membawa atau menerima pelawat selain daripada ibu bapa/ penjaga.
16.5        Pelajar juga tidak dibenarkan membawa/ menerima bekas pelajar sekolah ini sebagai pelawat.


PERKARA 17:      PERATURAN KELUAR DAN MASUK ASRAMA
17.1        Keluar ke bandar/ klinik/ hospital
17.1.1    Pelajar dibenarkan keluar ke bandar seminggu sekali iaitu pada hari Ahad dengan ibu bapa sahaja. Pelajar tidak dibenarkan keluar bersendirian.
17.1.2    Masa yang ditetapkan ialah antara 9.00 pagi hingga 6.00 petang kecuali kecemasan.
17.1.3    Pelajar dikehendaki mengemukakan dan menandatangani buku keluar masuk serta mendapatkan tandatangan/ cop daripada Warden yang bertugas sebelum keluar.
17.1.4    Pelajar yang ingin ke klinik/ hospital hendaklah dengan kebenaran Warden.
17.2        Cuti atau bermalam di luar asrama
17.2.1    Pelajar dibenarkan bercuti/ balik ke kampung masing-masing mengikut masa yang ditentukan oleh pihak asrama. Permohonan bercuti semasa hari persekolahan tidak dibenarkan.
17.2.2    Semasa hendak pulang, pelajar dikehendaki mengemukan kad/ buku catatan keluar masuk serta mendapat tandatangan atau cop daripada warden yang bertugas dua hari sebelum balik.
17.2.3    Pelajar tidak dibenarkan berada di asrama semasa bercuti selepas jam 5.00 petang.
17.2.4    Pelajar-pelajar tidak dibenarkan pergi ke tempat lain selain daripada apa yang telah diluluskan.
17.2.5    Pelajar yang pulang bercuti dikehendaki berada semula di asrama sebelum jam 6.00 petang pada hari terakhir cutinya. Pelajar yang gagal berbuat demikian boleh diambil tindakan disiplin.

17.3        Pulang semula ke asrama
17.3.1    Pelajar yang telah pulang ke asrama dikehendaki melaporkan diri kepada Warden dan pengambilan kad keluar masuk yang telah ditandatangani oleh Warden.
17.3.2    Kenderaan ibu bapa/ penjaga/ pelawat tidak dibenarkan masuk ke kawasan sekolah selepas jam 6.00 petang.
17.3.3    Pelajar yang tidak hadir/ pulang ke asrama mesti mengemukakan surat akaun doktor atau surat keterangan daripada ibu bapa/ penjaga. Tanpa maklumat tersebut pelajar dianggap ponteng.
17.3.4    Ibu bapa/ penjaga akan dimaklumkan secara bertulis jika pelajar tidak hadir dan diminta memberi penjelasan. Sekiranya pihak sekolah tidak menerima sebarang keterangan bertulis, tindakan berikut akan diambil:
                                                   i.            tidak hadir 3 hari berturut-turut; pelajar akan dipanggil untuk kaunseling.
                                                 ii.            tidak hadir 10 hari berturut-turut; surat amaran dihantar.
                                                iii.            tidak hadir 2 minggu berturut; pelajar akan ditamatkan pengajian.







BAHAGIAN C: TATALAKU DAN DISIPLIN PELAJAR
 




PERKARA 18:      PAKAIAN DAN PENAMPILAN DIRI
18.1        Pakaian rasmi/ seragam pelajar
18.1.1    Pakaian rasmi bagi pelajar ialah jubah putih, kopiah maahad tahfiz, serban, tanda nama dan kasut kulit/ PVC berwarna hitam.
18.1.2    Pakaian rasmi sekolah yang lengkap, kemas, dan bertanda nama hendaklah dipakai pada setiap hari persekolahan, menghadiri majlis rasmi, dan lawatan rasmi sekolah.
18.1.3    Semua pelajar juga diwajibkan berpakaian rasmi sekolah semasa datang ke sekolah, ketika pulang ke rumah, dan ketika keluar ke bandar (outing).

18.2        Pakaian-pakaian khusus lain
18.2.1    Pakaian riadah: Semua pelajar mesti memakai baju-T berkolar, seluar panjang ‘track bottom’ dan kasut sukan/ kanvas. Pelajar-pelajar tidak dibenarkan memakai seluar pendek, baju tanpa lengan, dan sebagainya yang tidak mencerminkan pelajar tahfiz.
18.2.2    Pakaian Jumaat: Pelajar hendaklah memakai pakaian rasmi sekolah kecuali kasut hitam untuk ke masjid.
18.2.3    Pakaian pengawas sekolah: Pengawas sekolah hendaklah memakai serban khas yang ditetapkan oleh pihak sekolah.

18.3        Peraturan am berpakaian
18.3.1    Secara umumnya, pelajar hendaklah sentiasa berpakaian sopan, bersih dan kemas yang mencerminkan imej pelajar tahfiz sama ada di asrama, kawasan sekolah atau di luar sekolah.
18.3.2    Pelajar tidak dibenarkan memakai pakaian ketat, seluar jeans dan baju bercorak gambar atau mempunyai tulisan kata-kata yang tidak sopan.
18.3.3    Semua pelajar tidak dibenarkan membawa atau memakai barang-barang kemas seperti gelang, subang, rantai leher dan lain-lain.


18.4        Rambut dan Kuku
18.4.1    Semua pelajar mestilah menjaga rambut supaya sentiasa kemas dan pendek. Maksud pendek ialah:
di belakang
di depan
di tepi/ sisi
di atas
rambut tidak melebihi garisan di bawah cuping dua telinga.
rambut tidak menutup garis tengah dahi.
rambut tidak menyentuh telinga dan ‘sideburn’ tidak melebihi   garis tengah hidung.
rambut tidak melebihi no. 2.

18.4.2    Rambut yang pelbagai gaya/ fesyen (berwarna, ekor, pacak, punk dan lain-lain) tidak dibenarkan.

18.4.3    Pelajar digalakkan memotong kuku pada hari yang disunatkan untuk memotongnya supaya kuku sentiasa pendek dan bersih.

18.4.4    Pelajar dilarang sama sekali mewarnakan rambut, kuku atau mana-mana anggota badan yang lain tanpa alasan yang munasabah.

PERKARA 19:        TATALAKU DAN TATASUSILA PELAJAR
19.1        Semua pelajar mesti menunjukkan sikap dan tingkah laku, tutur kata dan berbudi bahasa yang baik sepanjang persekolahan dan menjaga nama baik sekolah.
19.2        Semua pelajar wajib mengenal dan menghormati semua guru, kakitangan sekolah juga pelawat.
19.3        Semua pelajar disarankan berdiri memberi hormat kepada guru-guru ketika mereka masuk ke kelas dan sentiasa menjaga adab dengan guru. Semua pelajar mestilah menghormati para guru di mana-mana dan pada bila-bila masa sama ada di sekolah atau di luar asrama.
19.4        Semua pelajar dianjurkan membanyakkan senyuman dan memberikan ucapan salam apabila bertemu sesama Muslim dan ucapan selamat sejahtera bagi yang bukan beragama Islam.
19.5        Larangan am
19.5.1    Pelajar dilarang melakukan perbuatan yang boleh mencemarkan kesucian agama Islam, nama baik sekolah/ asrama, guru-guru dan ibu bapa.
19.5.2    Pelajar dilarang menghina atau mengeluarkan sebarang kata-kata kejian yang boleh menimbulkan pergaduhan.
19.5.3    Pelajar dilarang bersiul dan menyanyi lagu yang melalaikan dan mengganggu ketenteraman.
19.5.4    Semua pelajar ditegah/ dilarang duduk atau melepak di atas tembok, siling, bumbung atau mana-mana tempat yang tinggi dan berbahaya.
19.5.5    Semua pelajar dilarang meminjam, mengambil atau menggunakan barang-barang kepunyaan orang awam seperti basikal, motosikal dan lain-lain di dalam atau di luar sekolah.
PERKARA 20:      BARANG-BARANG LARANGAN
20.1        Semua pelajar dilarang membawa atau menggunakan barang-barang yang dilarang ini di sekolah/ asrama. Barang-barang larangan tersebut adalah seperti berikut:

20.2        Semua bahan atau alatan berbahaya yang boleh mencederakan termasuk:
20.2.1        Bahan api/ bakar seperti mercun, mancis, ubat nyamuk lingkaran, dan lain-lain.
20.2.2        Peralatan tajam seperti pisau, gunting, parang dan lain-lain.
20.2.3        Senjata api seperti pistol, senapang dan lain-lain.
20.2.4        Semua peralatan elektrik kecuali seterika.

20.3        Semua bentuk bahan hiburan yang boleh melalaikan termasuk:
   20.3.1        Telefon bimbit, kad memori dan kad sim.
   20.3.2        Buku, komik, atau majalah hiburan/ lucah.
   20.3.3        Alat-alat permainan kecuali dam.
   20.3.4        Alat elektronik seperti MP3, MP4, pendrive, radio, laptop, kaset dan lain-lain.
   20.3.5        Alat-alat muzik.
  
20.4        Semua bahan yang boleh merosakkan diri dan membawa ketagihan termasuk:
20.4.1        Rokok.
20.4.2        Dadah.
20.4.3        Minuman keras/ arak.

20.5        Lain-lain termasuk:
20.5.1        Alat solek wanita seperti gincu dan lain-lain.
20.5.2        Barang-barang kemas seperti gelang, cincin dan lain-lain.

20.6        Pihak sekolah berhak merampas barang-barang larangan yang dibawa dan tidak memulangkannya semula kepada pelajar sekiranya dikesan.

PERKARA 21:       SALAH LAKU DAN TINDAKAN TATATERTIB
21.1       Semua pelajar hendaklah mematuhi setiap peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah. Tindakan yang sewajarnya akan diambil ke atas mana-mana pelajar yang melanggar peraturan sekolah mengikut kesalahan disiplin yang dilakukan.
21.2       Kuasa menghukum
21.2.1    Guru yang mempunyai autoriti untuk menghukum/ mengenakan tindakan tatatertib terhadap pelajar yang didapati bersalah ialah Mudir dan P.K.HEM sahaja.




21.3       Kesalahan besar/ berat
Kesalahan
Hukuman
           i.     Menghisap atau menjual rokok/ dadah.
         ii.     Bergaduh/ memukul/ mencederakan.
        iii.     Membuli.
       iv.     Berjudi.
         v.     Keluar kawasan sekolah tanpa kebenaran.
       vi.     Homoseksual/ gay.
      vii.     Tidak menghormati/ melawan guru.
    viii.     Meminum minuman keras atau yang memabukkan dalam kawasan sekolah.
       ix.     Semua kesalahan yang menjadi kes polis.


Dikenakan tindakan buang atau gantung sekolah serta merta
          i.      Mengugut atau mengancam pelajar lain.
        ii.      Mencuri.
       iii.      Merosakkan harta benda sekolah atau harta persendirian guru-guru/ kakitangan sekolah.
      iv.      Lewat masuk asrama (pukul 6.00 petang).
        v.      Mengeluarkan kata-kata lucah.


Dikenakan tindakan gantung sekolah bersyarat:
          i.      Tidak solat berjamaah.
        ii.      Melanggar peraturan yang telah ditetapkan.
       iii.      Membuat kotor.
      iv.      Lewat hadir ke sekolah.
        v.      Ponteng kelas.

Dikenakan tindakan amaran/ gantung / buang sekolah (5 kali amaran/ rekod)
i.      Lari dari asrama tanpa kebenaran.
ii.     Membawa rakan sama ada pelajar sekolah (bekas pelajar) atau orang luar ke kawasan asrama.
Dikenakan sebatan rotan tidak melebihi tiga kali/ gantung asrama/ gantung persekolahan/ lain-lain yang wajar.


21.4       Kesalahan sederhana
Kesalahan
Hukuman
i.      Membawa, memiliki dan menggunakan peralatan elektrik yang ditegah/ dilarang dibawa masuk ke asrama/ sekolah.
ii.     Ponteng kelas al-Quran/ ulangkaji
iii.   Menulis kepada surat khabar atau majalah tanpa pengetahuan pihak sekolah
iv.   Semua kesalahan yang terkandung dalam senarai kesalahan sederhana seperti yang terkandung dalam peraturan sekolah.

Dikenakan sebatan rotan (sekiranya munasabah)/ gantung persekolahan
21.5        Kesalahan ringan
Kesalahan
i.        Merayau-rayau semasa sesi pembelajaran berjalan.
ii.       Semua kesalahan yang terkandung dalam senarai kesalahan ringan seperti yang terkandung dalam peraturan sekolah.
Hukuman
Pelajar diberi nasihat/ amaran/ rotan tidak melebihi 1 kali.
Jika kesalahan telah melebihi 5 kali, ibu bapa akan dipanggil untuk sesi kaunseling bersama pelajar terbabit.
Jika kesalahan berulang, pihak sekolah akan menggunakan budi bicara dan kemungkinan pelajar berkenaan akan diambil tindakan gantung sekolah atau ditamatkan pengajian.


PERKARA 22:      TINDAKAN TATATERTIB
22.1        Tindakan yang sewajarnya akan diambil ke atas pelajar yang melanggar undang-undang dan peraturan sekolah mengikut jenis kesalahan yang dilakukan.
22.2        Antara tindakan yang mungkin diambil ialah:
                                 i.            Nasihat dan kaunseling (pelajar)
                               ii.            Kaunseling ibu bapa/ penjaga bersama pelajar
                              iii.            Surat Amaran
                             iv.            Penggantungan/ ditamatkan pengajian
                               v.            Tindakan atas budi bicara pihak sekolah


BAHAGIAN D: HAL-HAL LAIN
 




PERKARA 23:      KESELAMATAN
23.1        Semua pelajar bertanggungjawab ke atas keselamatan barang-barang mereka sendiri.
23.2        Semua pelajar dilarang keras membawa alat-alat tajam, berbahaya dan boleh dianggap sebagai senjata ke asrama.
23.3        Semua pelajar mestilah mengetahui peraturan keselamatan api dan tidak dibenarkan menggunakan lilin/ pelita dan ubat nyamuk lingkaran.
23.4        Pelajar hendaklah melaporkan sebarang kejadian atau kerosakan yang berlaku kepada warden bertugas dengan segera.
23.5        Pelajar hendaklah sentiasa memastikan almari dikunci, duit/kad pengenalan dibawa bersama setiap kali keluar dari asrama.
PERKARA 24:      KESIHATAN
24.1        Pelajar yang mempunyai masalah kesihatan hendaklah memaklumkan kepada warden/ guru kebajikan.
24.2        Pelajar yang sakit perlu mendapatkan rawatan segera dengan berjumpa penyelia asrama/warden/guru kebajikan. Jangan mendiamkan diri.


PERKARA 25:      PENGGUNAAN AIR DAN ELEKTRIK
25.1        Pelajar hendaklah menggunakan air dan elektrik secara jimat dan berhemah.
25.2        Hanya lampu-lampu yang tertentu sahaja boleh dipasang apabila pelajar meninggalkan asrama pada waktu ulangkaji malam dan semua peralatan elektrik hendaklah ditutup pada waktu yang ditetapkan.
25.3        Pelajar hendaklah menggunakan tempat yang ditetapkan sahaja pada waktu mengulangkaji malam. Bagi pelajar yang mengulang kaji lebih masa hendaklah menggunakan bilik yang ditetapkan untuk tujuan berkenaan.


PERKARA 26:      PERINGATAN PENTING
26.1        Semua pelajar mestilah mematuhi peraturan asrama/ sekolah selagi menjadi pelajar di sekolah ini dan bertindak serta berperilaku yang tidak menjejaskan kesucian agama Islam/ nama baik sekolah, guru-guru dan ibu bapa.
26.2        Semua kesalahan yang dilakukan oleh pelajar akan direkodkan dalam buku rekod kesalahan Warden/ guru disiplin.
26.3        Lembaga Jemaah Disiplin Sekolah atau mudir berhak untuk menambah atau mengubah peraturan-peraturan ini dari semasa ke semasa serta menjatuhkan hukuman yang sewajarnya ke atas pelajar-pelajar yang didapati bersalah.






PENUTUP
 



Pembinaan insan dalam Islam bermula dari pendidikan yang diterima. Pendidikan yang berkualiti dan berkesan pula dipengaruhi oleh biah yang solehah.  Maka, diharap dengan adanya Buku Peraturan ini, para pelajar akan lebih terpandu akhlak dan perilaku yang akhirnya menyumbang kepada pembentukkan biah solehah di sekolah ini serta memudahkan pihak sekolah menjalankan tanggungjawab mendidik dan membangun jiwa para pelajar.








Hubungi kami: 05-721 9745 (No. Telefon Pejabat)

No comments:

Post a Comment